[VIDEO] PN adakan mesyuarat tergempar esok, Bersatu turut dijemput - Takiyuddin

KOTA BHARU - Mesyuarat tergempar Perikatan Nasional (PN) yang akan berlangsung pada Ahad ini akan menjemput Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) selepas mahkamah membenarkan permohonan penggantungan notis Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) terhadap gabungan itu, kata Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

**media[3687673]**

Menurut beliau, makluman jemputan sudah dibuat, manakala kad jemputan rasmi dijangka dikeluarkan pada Sabtu.

"Mesyuarat ini dikategorikan sebagai mesyuarat tergempar Majlis Tertinggi PN yang tidak memerlukan tempoh notis panjang seperti mesyuarat biasa iaitu tujuh hari berdasarkan perlembagaan parti," katanya.

Beliau berkata demikian selepas program Himpunan dan Munajat Penyatuan Ummah (Himpak) sempena Karnival Rakyat Kelantan 36 Tahun Membangun Bersama Islam (MBI) di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini pada malam Sabtu.

Jelasnya, mesyuarat yang akan diadakan di Ibu Pejabat Pas itu akan membincangkan beberapa perkara termasuk status gabungan serta persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Kata beliau lagi, kedudukan parti komponen akan turut dibincangkan termasuk Bersatu yang difahamkan sudah memilih kerusi dan menggunakan logo sendiri.

"Perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat sekiranya mereka (Bersatu) hadir," katanya.

Takiyuddin memberitahu, keputusan mahkamah yang menangguhkan penggantungan dan pembatalan PN membolehkan gabungan itu kembali menjalankan aktiviti serta mengadakan mesyuarat seperti biasa.

"Sebelum ini, notis bertarikh 23 September lalu, mengarahkan semua kegiatan PN digantung.

"Kecuali aktiviti berkaitan menjawab tunjuk sebab yang dikemukakan oleh RoS. Berdasarkan keputusan mahkamah semalam, PN dibenarkan mengadakan mesyuarat dan menjalankan aktiviti.

"Dengan adanya perintah penangguhan penggantungan dan pembatalan itu, PN kini boleh melaksanakan tanggungjawab, aktiviti dan mesyuarat seperti biasa," katanya.